KUALA LUMPUR — Syarikat konsesi lebuh raya bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), AFA Prime Berhad (dahulu ANIH Berhad) memperuntukkan sejumlah RM2.3 bilion untuk projek pelebaran KLK dan projek mitigasi banjir di LPT1.
Projek KLK melibatkan pelebaran daripada tiga lorong dua hala kepada empat lorong dua hala, pembinaan terowong dua lorong baharu dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah, serta penambahbaikan daripada dua lorong dua hala kepada tiga lorong dua hala dari Genting Sempah ke Plaza Tol Bentong.
Ia juga memperkenalkan langkah keselamatan seperti penstabilan cerun, sistem pengurusan trafik yang dipertingkatkan dan bahu jalan yang lebih luas untuk menyokong pengurusan insiden dengan lebih baik.
Apabila siap sepenuhnya, KLK dijangka meningkatkan kapasiti aliran trafik sebanyak 25 peratus, atau 1,400 kenderaan sejam bagi setiap lorong.
Pengerusi AFA Group, Tan Sri Azmil Khalili Khalid berkata, dengan peruntukan sebanyak RM2.1 bilion, projek berkenaan bertujuan menangani isu kesesakan dan cabaran keselamatan di salah satu lebuh raya paling sibuk di Malaysia.
“Dijadualkan bermula Januari 2025, projek selama 48 bulan ini dijangka meningkatkan kecekapan perjalanan, mengurangkan risiko kemalangan, dan merangsang aktiviti ekonomi di sepanjang Pantai Timur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran identiti baharu AFA Infrastructure and Development Sdn. Bhd. (AFA) di sini, semalam.
— Bernama
Published by Kosmo. (29 Nov 2024). For more details, read the full news coverage here: RM2.3 bilion naik taraf KLK, LPTl