Gombak: Sebahagian besar kesalahan tidak membayar tol yang direkodkan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) sejak 2023 membabitkan kenderaan kelas satu menyumbang kira-kira 95 peratus daripada keseluruhan kes yang dikesan.
Pengurus Besar AFA Prime Berhad Ismaliza Ibrahim berkata, sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, sebanyak 2,122 surat tuntutan (LOD) sudah dikeluarkan dengan jumlah tuntutan keseluruhan RM21,181 membabitkan pelbagai kesalahan di plaza tol.
"Pecahan tahunan menunjukkan 571 LOD (RM6,177.80) pada 2023, diikuti 853 LOD (RM8,190.00) pada 2024 dan 698 LOD (RM6,813.20) pada 2025.
"Data itu menunjukkan kesalahan masih berulang secara konsisten setiap tahun dengan jumlah melebihi 500 kes setahun.
"Pelanggaran yang direkodkan membabitkan tiga kategori utama iaitu 'tailgating' (mengekori rapat kenderaan hadapan), melanggar palang tol serta tidak berhenti di laluan manual di plaza tol," katanya pada sidang media ketika meninjau operasi bersepadu di Plaza Tol Gombak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismaliza berkata, kesalahan tidak membayar tol masih berlaku secara berulang walaupun pelbagai tindakan penguatkuasaan dan pemantauan dilaksanakan oleh pihak konsesi bersama agensi berkaitan.
Katanya, berdasarkan pemerhatian, majoriti kes membabitkan pengguna kenderaan persendirian dan bukan kenderaan komersial, selain kesalahan dikesan melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang memantau setiap pergerakan di lorong tol.
"Daripada statistik, ada kenderaan yang melakukan kesalahan sehingga 30 kali. Kebanyakannya kenderaan biasa," katanya.
Beliau berkata, walaupun jumlah LOD dikeluarkan adalah tinggi, kadar bayaran semula masih rendah iaitu kurang daripada satu peratus, sekali gus menunjukkan tahap pematuhan masih belum memuaskan.
"Kesedaran pengguna masih rendah. Walaupun notis dikeluarkan, impak dan tindakan susulan masih kurang," katanya.
Ismaliza berkata, antara lokasi yang kerap mencatatkan kesalahan adalah di Lebuhraya KLK dan LPT1 membabitkan kawasan Gombak, Bentong dan Kuantan, namun kesalahan itu berlaku sepanjang masa dan bukan hanya pada musim perayaan.
Menurutnya, operasi khas yang dilaksanakan hari ini memberi tumpuan kepada pengesanan pesalah tegar dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) termasuk penggunaan senarai kenderaan yang dikenal pasti melakukan kesalahan berulang.
"Kesalahan itu turut dikesan menerusi pelbagai kaedah pemantauan termasuk sistem pengesanan automatik di plaza tol yang merekodkan insiden seperti tailgating dan pelanggaran palang tol," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau mengakui keperluan untuk memperkukuh aspek penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan pesalah lebih bertanggungjawab dan tidak mengulangi kesalahan sama.
"Setiap kesalahan yang disabitkan boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM5,000 mengikut Seksyen 8 Akta Jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) (Pindaan) 1994," katanya.
Published by Suharmin Yusuf (6 June 2026). For more details, read the full news coverage here: Lebih 2,000 LOD dikeluarkan kes tidak bayar tol di KLK, LPT1