KUANTAN – Sejumlah 410,000 buah kenderaan dijangka menggunakan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1) dan 1.05 juta kenderaan melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sepanjang tempoh cuti perayaan Deepavali tahun ini bermula hari ini sehingga 22 Oktober 2025 ini.
Exco Kerja Raya, Pengakutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, berdasarkan statistik AFA Prime Berhad, purata harian trafik pada waktu puncak dianggarkan sebanyak 68,300 kenderaan.
“Jumlah trafik tertinggi yang dijangka pada kemuncak perayaan Deepavali dianggarkan mencecah 95,000 buah kenderaan pada 20 Oktokber ini berbanding purata 41,000 kenderaan pada hari biasa menunjukkan peningkatan 132 peratus.
“Manakala peningkatan sebanyak 194,000 buah kenderaan pada waktu puncak 20 Oktoberi ini di laluan Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak berbanding 110,00 purata pada hari biasa.
“Peningkatan aliran trafik ini memerlukan semua pengguna jalan raya untuk lebih berwaspada, mematuhi peraturan serta mengutamakan keselamatan ketika memandu agar setiap perjalanan pulang ke destinasi masing-masing berjalan dengan selamat dan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Advokasi Sempena Deepavali di Plaza Tol Gambang, di sini, hari ini.
Menurutnya, program tersebut penting bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap keselamatan jalan raya, khususnya menjelang musim perayaan yang mana jumlah kenderaan di jalan raya meningkat dengan ketara.
Sehubungan itu katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang bersama agensi-agensi keselamatan lain akan mempergiatkan program advokasi dan hebahan keselamatan jalan raya.
Sementara itu, beliau memberitahu, sebanyak 586,256 kenderaan diperiksa bagi tempoh 1 Januari sehingga 15 Oktober 2025 dengan 104,947 kenderaan diambil tindakan.
Katanya, sebanyak 110,010 notis saman JPJ P22 dikeluarkan dan 144 kenderaan disita. – MalaysiaGazette
Published by MalaysiaGazette (17 Oct 2025). For more details, read the full news coverage here: Deepavali: Lebih 1 juta kenderaan dijangka guna Lebuhraya KL-Karak